Kumpulan puisi Hazwan Ariff Hakimi 'Sasterawanara Keraton' (2012)



Kumpulan Puisi Sasterawanara Keraton
Harga: RM 10 (termasuk kos penghantaran) 



33 Puisi Kembara Sasterawanara Keraton (SK) menghimpunkan 33 karangan puisi Hazwan Ariff Hakimi. Penyair dari jurusan senibina di University of Nottingham, UK ini membuktikan bahawa beliau mampu menguasai bidang kepenyairan meskipun tidak mendapat pendidikan formal dalam lapangan penulisan kreatif. Bakat anak muda ini terserlah apabila beliau mampu membina gaya peribadi (idiosinkrasi) tersendiri seawal usia kepenyairannya. SK bukan sekadar himpunan lontaran pemikiran dan suara batin penyair, malah menjadi bahan dokumentasi bagi mengenali gaya kepengarangan penyair ini dari sudut stilistik. 

Bakat dan minat yang mendalam terhadap puisi telah meyakinkan Hazwan untuk menampilkan SK yang sarat idea dalam lingkungan tiga tema utama dunia kepengarangan iaitu politik, agama dan budaya. Kumpulan puisi ini disusun mengikut tahun puisi diterbitkan. Penyusunan ini memberi peluang untuk mengenali gaya peribadi, kematangan dan perubahan takah fikir beliau. 33 buah puisi yang dimuatkan di dalam SK ini mampu dilihat menerusi sudut pandang semantik dan stilistik sekali gus menjadikan beliau sebagai penyair yang berjaya memberi keseimbangan antara estetika makna dan estetika bahasa.
Menghayati SK ibarat membaca lembar demi lembar pengalaman dan pemikiran yang diolah dengan gaya sarat nilai keindahan. Sebagai penyair yang tidak dilahirkan secara semula jadi dalam dunia sastera, Hazwan berani menampilkan gaya peribadi yang tersendiri sekali gus memecahkan tembok antara dunia sains dan sastera yang ada di dalam diri. Daya kreativiti dan kesungguhan untuk menjadi penyair yang berdiri di atas jati diri sendiri diperlihatkan menerusi himpunan 33 buah puisi dengan tema yang besar.
Hazwan Ariff Hakimi, pelajar tahun keenam jurusan senibina di University of Nottingham, UK yang berusia 24 tahun ini menjadikan William Shakespeare dan SN Dato Dr Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) sebagai idola dalam penulisannya. Puisi-puisi beliau disiarkan di pelbagai media penerbitan tanah air antaranya Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Siswa, Tunas Cipta, Dewan Sastera, Solusi, Majalah JOM, Buletin Bicara dan Sastera.Net, juga diiktiraf sebagai pemenang Peraduan Puisi Sains Karyanet-DBP 2003 dan 2004 dan dipersembahkan di UK. Puisi-puisi beliau turut diterbitkan dalam pelbagai antologi puisi antaranya Flora dan Fauna (Karyanet-DBP, 2006), Badar Metropolitan (GKLN, 2009), Juzuk (GKLN, 2010), Gema Membelah Gema 16 (BAHASA, 2011), Meditasi Dampak 70 Kemala (Insandi, 2011), Takah Lima Puluh (PENA, 2011), Dandelion (GKLN, 2012) dan Menyirat Cinta Haqiqi (Insandi, 2012) serta boleh dibaca

No comments:

Post a Comment